Sunday, March 13, 2011

Sinopsis Hikayat Inderaputera

             Hikayat ini mengisahkan perihal seorang putera yang bernama Inderaputera, putera kepada Maharaja Bikrama Buspa yang memerintah negeri Samantapuri. Kelahirannya yang telah lama ditunggu-tunggu oleh ayahanda dan bondanya disambut dengan bunyi-bunyian dan penuh dengan adat istiadat. Ahli nujum datang untuk menilik nasib putera itu. Ahli nujum itu menyatakan bahawa pada usia Inderaputera tidak patut dibiarkan bermain bersama binatang kerana takut bencana akan menimpanya. Inderaputera juga diramal akan menjadi maharaja yang besar dan disegani oleh kawan mahupun lawan.
Tilikan ahli nujum itu menjadi kenyataan dan Inderaputera telah diterbangkan oleh Merak Emas yang dihasilkan oleh pembawa ufti yang datang ke istana Maharaja Bikrama Buspa. Inderaputera jatuh ke kebun bunga seorang nenek kebayan yang tidak mempunyai saudara-mara. Setelah melihat keelokan rupa Inderaputera, nenek kebayan menjadi sayang kepada Inderaputera lalu menjaga Inderaputera bagaikan menatang minyak yang penuh. Inderaputera juga menjadi rapat dengan nenek kebayan tersebut. Selama Inderaputa tinggal dengan nenek kebayan ini, kebun bunga nenek kebayan subur dan lebat. Nenek kebayan mendapat untung yang banyak daripada  hasil jualan bunga .
Suatu hari nenek kebayan pergi menjual bunga kepada Perdana Menteri negeri tersebut. Nenek kebayan membawa bersama Inderaputera. Apabila Perdana Menteri itu melihat keelokan wajah Inderaputera, beliau dapat mengagak bahawa Inderaputera adalah anak keturunan besar-besar kerana tingkah lakunya dan sinar wajahnya yang menggambarkan kebesaran dan kemuliaannya. Oleh kerana Perdana Menteri tidak mempunyai anak, maka Perdana Menteri menganjurkan supaya Inderaputera tinggal bersamanya pada waktu siang dan pada waktu malam pula kembali bersama nenek kebayan.
Raja Shahian merupakan raja di negeri tersebut yang sangat inginkan anak. Disuruhnya Perdana Menteri supaya membuat pengumuman untuk bertanya kepada rakyat jika ada di antara mereka yang tahu tentang ubat untuk kehamilan. Ada diceritakan bahawa di Gunung Mali Kisna. Ada seorang mahareshi bertapa pada gunung ini yang bernama Berma Sakti. Namun untuk pergi ke tempat itu, amat sukar dan dipenuhi dengan cabaran yang amat susah untuk dilalui oleh orang biasa.
Apabila Inderaputera melihat bapa angkatnya (Perdana Menteri) sugul memikirkan masalah Raja Shahian, Inderaputera menawarkan diri untuk pergi mencari Berma Sakti ini. Perdana Menteri berat hati untuk melepaskan Inderaputera pergi namun Inderaputera tetap berkeras juga. Akhirnya Perdana Menteri terpaksa mempersembahkan Inderaputera kepada Raja Shahian. Raja Shahian berjanji jika baginda mendapat anak lelaki, akan dijadikan saudara kepada Inderaputera dan jika baginda mendapat anak perempuan, akan dijadikan isteri kepada Inderaputera.
Bermula pada hari itu, Inderaputera pun merantau ke merata-rata tempat untuk mencari ubat beranak ini. Dalam pengembaraannya,Inderaputera berpeluang melihat dan mengutip pelbagai pengalaman. Inderaputera berjumpa dengan pelbagai kerajaan dan bersahabat dengan pemerintah-pemerintah di sana. Keseluruhan cerita Hikayat Inderaputera mengisahkan perjalanan hidup Inderaputera sepanjang pencariannya untuk mendapatkan ubat itu.
Setelah bertahun-tahun lamanya bersusah-payah untuk mengotakan janjinya kepada Raja Shahian,akhirnya Inderaputera pulang mempersembahkan ubat itu kepada Raja Shahian. Kedatangan Inderaputera setelah bertahun-tahun lamanya merantau menggembirakan bapa angkatnya dan Raja Shahian (yang terhutang budi kepada Inderaputera kerana mencari ubat tersebut), namun mengundang rasa sakit hati dan cemburu menteri-menteri yang menjadi penasihat Raja Shahian. Mereka telah mencuba untuk menfitnah Inderaputera dan membunuhnya. Pelbagai cubaan dan dugaan terpaksa Inderaputera hadapi sebelum dia dapat dijodohkan dengan Puteri Mengindera Seri Bulan (puteri Raja Shahian hasil daripada ubat yang dicari oleh Inderaputera) Akhirnya, Inderaputera dikahwinkan dengan Puteri Mengindera Seri Bulan yang turut jatuh cinta dengan ketampanan dan kebesaran Inderaputera.
Kisah Hikayat Inderaputera ini diakhiri dengan kepulangan Inderaputera kepada ayahanda dan bondanya yang tidak pernah ditemuinya semenjak dia diterbangkan oleh Merak Emas suatu masa dahulu. Inderaputera pulang sebagai seorang putera yang hebat, mempunyai jajahan sendiri dan mempunyai sahabat-sahabat yang juga terdiri daripada pemilik kerajaan-kerajaan yang besar dari tanah jin, dewa, mambang, indera dan peri. Sesungguhnya, segala kesusahan yang ditempuhi oleh Inderaputera yang terpaksa berpisah dengan ayahanda dan bondanya adalah berbaloi kerana Inderaputera akhirnya berjaya memartabatkan dirinya melalui usaha dan penat lelahnya sendiri.

No comments:

Post a Comment