Friday, March 11, 2011

Sinopsis Duyung Aridinata

SEBELUM ini kita pernah menonton filem Splash lakonan Daryl Hannah, Duyung (Maya Karin) serta siri popular Filipina, Dyesebel di saluran Astro.
Seringkali kisah sebegitu memaparkan percintaan antara makhluk ikan separuh manusia (perempuan) dengan lelaki normal. Namun, dalam siri terbaru Duyung Aridinata arahan Adam Hamid, kisah percintaan antara duyung lelaki dan gadis biasa pula ditonjolkan.
Ia antara lain mengisahkan perjalanan seekor duyung lelaki, Aridinata yang dikurniakan kaki untuk hidup di daratan dan mencari pasangan cintanya.
Aridinata yang bertukar menjadi manusia biasa akhirnya berjaya menemui cintanya selepas bekerja di sebuah pusat peranginan, Hening Beach Resort. Namun tidak semudah itu dia menempuh kehidupan baru yang sangat mencabar kerana pelbagai konflik timbul.
Drama bersiri 20 episod terbitan Zeel Productions itu bakal menemui anda menerusi slot Lagenda di TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang bermula 12 Julai nanti. Ia dibintangi tiga teraju utamanya iaitu Zack X-Factor (Putera Aridinata) Natasha Hudson (Puteri Antartinka) dan Fasha Sandha (Cleo). Pelakon lain adalah Tony Eusoff, Rozie Rashid, Maria Farida, Jasmin Hamid, Eizlan Yusoff dan Zain Saidin. Drama ini menjalani penggambaran di lokasi utama sekitar Pulau Lang Tengah, Terengganu dan Pusat Sains Negara (PSN), Kuala Lumpur. Kisah bermula dengan Raja Singrattdinanta yang amat murka apabila putera tunggalnya, Putera Aridinata, enggan berkahwin dengan Puteri Antartinka lalu diusir dari Empayar Insangrumpair.
Justeru kerana terlalu kecewa dengan tindakan ayahandanya, Putera Aridinata bersama kawan rapatnya, Kurita yang juga seekor sotong, berjumpa dengan dukun Mek Melusa yang terkenal dengan kemampuan saktinya di Empayar Insangrumpair. Atas nasihat Dukun Mek Melusa, Putera Aridinata dinasihat meninggalkan Empayar Insangrumpair untuk mencuba nasib di darat. Mek Melusa juga akhirnya dapat memenuhi hasrat Putera Aridinata dengan memberikannya sepasang kaki. Namun, ia tetap bersyarat kerana ada pantang larang yang perlu dipatuhi.

No comments:

Post a Comment